MOHAMMAD Yaakub.
MOHAMMAD Yaakub.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Haram hukumnya jika seseorang individu mempromosikan barangan atau produk yang jelas menyatakan sokongan dan menyalurkan kewangannya untuk membantu perkara yang tidak baik.

Demikian pandangan pendakwah bebas dan penceramah motivasi, Mohammad Yaakub Yusra dan baginya, wang sebanyak mana pun yang diterima individu berkenaan atas kerja promosi dilakukan pasti akan habis.

"Bab yang menyokong kena ingat satu saja Israel jelas mencabuli hak umat Islam di Palestin. Tanpa kekuatan ekonomi maka tidak akan berlaku kezaliman yang dibuat.

"Ingat sebesar mana pun upah diterima pasti tidak mampu membayar nyawa lebih 30,000 syuhada dibunuh di sana sejak peperangan meletus Oktober tahun lalu," katanya.

Justeru, Mohammad Yaakub memuji tindakan pencipta kandungan atau pempengaruh tidak menjalin kerjasama dengan syarikat pro-Israel dengan memboikot dan menolak tawaran diterima.

Jelasnya, usaha itu sangat baik kerana golongan itu memanfaatkan pengaruh yang ada untuk menunjukkan solidariti buat Palestin yang dizalimi.

Menurut Mohammad Yaakub, usaha burung yang cuba memadamkan api ketika Nabi Ibrahim AS dibakar oleh raja yang zalim iaitu Namrud dalam surah As-Saffat ayat 95 hingga 98 wajar diambil sebagai ibrah atau pengajaran.

"Ikutkan pada akal mana boleh terpadam api itu dengan kadar air yang digunakan. Tapi bukan soal kejayaan di ukur tapi setidak tidaknya usaha yang baik itu.

"Jadi, samalah juga dengan usaha mereka yang enggan bekerjasama dengan syarikat pro-Israel kerana solidariti terhadap Palestin," katanya.

Menurut Mohammad Yaakub yang juga Pengarah Pusat Dakwah Murtadha (Murtadha Dakwah Centre), hadis Abu Said al-Khudri RA yang meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya "sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya."

"Jika tak sanggup hendaklah dengan lisannya. Sekira tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkari dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

"Jadi jelas disebut usaha menolak kemungkaran dalam hadis itu yang boleh kita jadikan panduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:01 PM