MOHD Rahmat dan isterinya ketika melalui laluan Lhasa-Tibet sebelum isterinya mendapat gejala Sindrom Akut Gunung (AMS) akibat kekurangan oksigen. FOTO Ihsan Mohd Rahmat
MOHD Rahmat dan isterinya ketika melalui laluan Lhasa-Tibet sebelum isterinya mendapat gejala Sindrom Akut Gunung (AMS) akibat kekurangan oksigen. FOTO Ihsan Mohd Rahmat
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Seperti diramal, laluan ekstrem Banjaran Himalaya ternyata memberi cabaran kepada pasangan suami isteri yang sedang melakukan kembara Jelebu-Makkah menggunakan motosikal bagi menunaikan haji.

Mohd Rahmat Mohammed Amin, 38 ketika dihubungi berkata, dia berdepan detik mencemaskan apabila isterinya Nurazlinda Mohamad, 36 diserang gejala sindrom akut gunung (AMS) ketika berada di ketinggian 5,000 meter ketika melalui laluan Lhasa-Tibet di Banjaran Himalaya.

Katanya keadaan mungkin bertambah buruk sekiranya tiada pertolongan segera diberikan penduduk negara itu kepada isterinya.

"Ketika dalam keadaan cemas ada penduduk yang kebetulan melalui laluan itu memberi pertolongan kepada isteri dengan memberi bantuan oksigen selain dibawa menaiki kereta.

"Mereka melarang isteri membonceng motosikal sebaliknya menumpangkan isteri dengan kereta sebelum dibawa ke kawasan lebih rendah di laluan itu.

"Ada juga yang membantu isteri dengan memberinya minuman glukosa dan ketika ini keadaan isterinya semakin baik," katanya.

Mohd Rahmat berkata sepanjang lima hari melalui laluan itu, dua kali dia menunggang dalam keadaan ribut salji dengan suhu dari satu hingga -0 darjah celsius.

Mohd Rahmat berkata dengan berbaki kira-kira 700 kilometer sebelum sampai ke sempadan China-Nepal, cuaca sejuk turut mengganggu perjalanan dan perjalanan sudah lewat sehari daripada jadual asal.

Justeru itu dia berusaha untuk menunggang sejauh 400 kilometer hari ini dan 300 kilometer pada esok, serta dijangka tiba di sempadan Nepal pada Isnin ini.

Pada masa sama beliau berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan urusan mereka sepanjang perjalanan dipermudahkan supaya selamat tiba di Makkah pada 5 Mei ini.

Mohd Rahmat dan isteri memulakan perjalanan bermotosikal dari Jelebu pada 19 Mac lalu dengan merentas 13 negara membabitkan jarak 14,000 kilometer dan memilih laluan paling ekstrem di dunia di Banjaran Himalaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 10:16 AM