PADU
PADU
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pendaftaran dan kemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerajaan meneliti semula pelaksanaan sistem berkenaan supaya mencapai matlamatnya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil berkata, masih banyak persoalan terutama aspek jaminan keselamatan maklumat orang ramai tidak dijelaskan secara telus sehingga menimbulkan polemik.

"Kita tidak persoalkan atau nafikan kepakaran pasukan keselamatan siber kerajaan seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan sebagainya tetapi kenapa jaminan keselamatan itu hanya dikeluarkan Kementerian Ekonomi bukan agensi bertanggungjawab ini?

"Ada banyak faktor selain isu campur tangan politik dan kes pengodaman data agensi kerajaan, jawapan Kementerian Ekonomi juga tidak konsisten terhadap keselamatan data kerajaan sendiri yang memberikan multi persepsi sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

"Menurut kenyataan Menteri Ekonomi, PADU mengambil data dari pelbagai agensi dan jabatan lain, ini membentuk satu tarikan kepada penjenayah siber kerana elemen data terkumpul itu sangat strategik termasuk maklumat perbankan pengguna.

"Sekiranya data ini bocor atau dieksploitasi untuk tujuan yang salah di kemudian hari, siapa yang harus dipertanggungjawabkan kerana Akta Keselamatan Siber baru sahaja dalam proses pembentangan di Parlimen hari ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas kewajaran kerajaan menangguhkan pendaftaran dan kemas kini PADU sehingga semua isu berbangkit dan persoalan rakyat terjawab.

Mengulas lanjut katanya, sudah sampai masanya kerajaan duduk semeja dengan pemegang taruh terutama pihak industri bagi meneliti semula dan memperbaiki kelemahan pelaksanaan sistem ini bagi mencapai matlamat subsidi bersasar.

"Sampai dua kerajaan negeri pun memberikan reaksi agak tidak baik sedangkan awal-awal lagi perlu adakan libat urus dengan pemegang taruh dan beri peluang kepada pihak lain yang sepatutnya memberikan pandangan lebih jelas tentang sistem ini.

"Jadi, wajar Kementerian Ekonomi memikirkan semula perkara ini kerana implikasinya akan memberikan impak negatif rakyat secara majoriti terhadap sistem ini dan akhirnya secara tidak langsung kepada kerajaan kita sendiri," katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penting pendaftaran PADU dilanjutkan lagi bagi mencapai objektif utamanya.

"Berdasarkan peratusan semasa yang mendaftar mungkin PADU boleh dilanjutkan lagi tempoh pendaftarannya, ini penting kerana sekiranya mahu mencapai objektif utamanya iaitu menstruktur semula pemberian subsidi pukal kepada bersasar ke seluruh negara secara berkesan.

"Selain objektif lain seperti bantuan sewaktu kecemasan atau bencana alam mahupun aspek 'job matching' bagi peluang pekerjaan mungkin akan sampai ke tahap yang ada sekarang," katanya.

Katanya, kerajaan perlu menangani terutama isu keselamatan yang menjadi antara alasan utama bagi mereka yang tidak mendaftar lagi.

"Malah golongan T20 dan sebahagian B40 pula tidak mendaftar merasakan mereka tidak akan mendapat bantuan subsidi bersasar apabila ia dilaksanakan nanti.

"Bagi Sarawak dan Sabah yang mempunyai muka bumi luas dan pelbagai seharusnya diberikan tempoh masa yang lebih panjang kepada rakyatnya sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan lagi," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi penjelasan berhubung isu PADU kepada Jemaah Menteri, minggu depan.

Ini kerana sistem berkenaan menimbulkan pelbagai isu dengan terbaharu Sabah menjadi negeri kedua selepas Sarawak yang menggesa penangguhan pendaftaran dan kemas kini PADU.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 2:01 PM