Ong Kian Ming
Ong Kian Ming
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Seorang bekas timbalan menteri dan bekas wakil rakyat parti kerajaan meminta supaya proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) ditangguhkan sehingga beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata terdapat beberapa kecacatan dalam sistem itu termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sedia ada dalam pangkalan data PADU.

Menurutnya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melalui platform sosial X mengatakan data yang disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan tidak dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan dan kemungkinan penggodaman.

"Tetapi pengguna perlu mengisi lagi maklumat terbabit dan bagaimana data itu tidak sama dengan apa yang terdapat dalam pangkalan data PADU dan bagaimana sistem berkenaan maklumat lain berkaitan pendapatan sewaan tanah atau aset?

"Selain itu terlalu banyak ruangan perlu diisi, pasti meningkatkan kebarangkalian pengguna tidak mengisi maklumat dengan tepat bagi membolehkan mereka terus layak menikmati subsidi kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sistem PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri, dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Sehubungan itu, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Kian Ming berkata, tujuan pangkalan data PADU bertujuan melancarkan lebih banyak subsidi bersasar termasuk penarikan subsidi petrol tidak disasarkan untuk diletakkan melalui mekanisme subsidi bersasar.

"Malangnya, pangkalan data PADU sedia ada tidak mungkin mencapai objektifnya berikutan penerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (BTR) tidak layak menerima kerana mereka mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan memiliki tanah.

"Ia kerana mereka tidak akan mengisi maklumat yang tepat dalam sistem PADU, selain terdapat isu keselamatan utama dengan pendaftaran PADU di mana jika anda mempunyai nombor kad pengenalan (IC) dan poskod yang dikaitkan dengan alamat IC pengguna, sesiapa saja boleh mendaftar untuk akaun PADU individu itu, tanpa perlu melalui Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC)," katanya.

Katanya, beliau melakukan pendaftaran PADU bagi empat pemimpin DAP mengikut alamat IC dan poskod bagi pihak Hannah Yeoh, Steven Sim Chee Keong, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching.

"Kesemua pendaftaran akaun PADU untuk mereka tanpa melalui pengesahan e-KYC. Saya juga boleh menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan Hannah tanpa perlu melalui pengesahan e-KYC tanpa pengetahuan beliau," katanya.

Justeru katanya, kerajaan wajar menangguhkan pendaftaran PADU selain mengambil masa untuk membuat pengujiansistem sebelum ia dilancarkan semula.

"Pengguna yang sudah mendaftar tetapi belum menjalani pengesahan e-KYC perlu diminta membuat pendaftaran semula selepas isu keselamatan diselesaikan.

"Selain itu, ruang maklumat perlu dikurangkan, sebaik ciri keselamatan dimasukkan, data yang boleh diambil daripada agensi dan kementerian lain perlu diisi terlebih dahulu.

"Pengguna juga perlu mempunyai mekanisme di mana mereka boleh membuat laporan sekiranya maklumat yang diberikan tidak tepat," katanya.

Katanya, pakar teknologi maklumat (IT) dan keselamatan siber perlu menyediakan input nilai tambah yang boleh digunakan untuk menambah baik reka bentuk sistem PADU.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggota Kabinet diharap tidak melihat isu itu sebagai langkah untuk melemahkan pentadbiran mereka.

"Ini kerana dalam mengetengahkan kepincangan dalam sistem PADU ini, saya berharap ia dapat diperbetulkan secepat mungkin sebelum sidang Parlimen akan datang supaya parti pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) tidak berpeluang menjadikannya sebagai modal perdebatan politik.

"Saya berharap kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dan saya berharap tindakan saya mendedahkan kelompangan sistem pendaftaran PADU akan diambil perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 11:49 AM