FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu seiring dengan penggubalan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) bagi memastikan orang ramai yakin maklumat mereka selamat dan tidak terdedah dengan risiko kebocoran data.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, ancaman pengodaman dan kecurian data pada masa ini semakin hebat selari dengan cabaran perkembangan teknologi semasa terutama kecerdasan buatan (AI).

Justeru, katanya, tiba masanya kerajaan memikirkan kaedah tuntas bagi menangani ancaman ini terlebih dahulu memandangkan sistem PADU juga berisiko terdedah dengan ancaman ini.

"Data peribadi sekarang bukan macam 20 tahun dahulu, tetapi hari ini ia sensitif kerana terdedah dengan ancaman banyak pengodam, malah kerap timbul isu data termasuk data kerajaan sendiri banyak kali bocor.

"Isunya, Akta PDPA itu tidak tertakluk kepada kerajaan atau mana-mana agensi di bawah kerajaan cuma untuk swasta atau komersial saja, jadi ini perkara penting patut diteliti kerana faktor rakyat kurang yakin untuk mendaftar PADU salah satunya kerana soal keselamatan data mereka tiada jaminan.

"Jadi, polisi kerajaan perlu diperkukuhkan dahulu antaranya dengan meminda Akta PDPA supaya diperuntukkan untuk semua termasuk agensi kerajaan kerana isu ancaman keselamatan siber ini tidak tunggu masa atau memilih mangsa," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendaftaran PADU yang masih kurang mendapat sambutan biarpun berbaki kira-kira dua bulan lagi tarikh penutup.

Mengulas lanjut, Siraj berkata, penyampaian berkaitan PADU terhadap rakyat juga tidak jelas dan bermasalah.

"Banyak persoalan dan pertikaian timbul disebabkan kes kebocoran data terdahulu tidak mampu dijawab atau dijelaskan kepada rakyat sehingga wujud stigma orang ramai pasal PADU tidak selamat.

"Jadi, kerajaan perlu beri satu jaminan supaya rakyat yakin data mereka selamat kerana isu paling banyak berlegar dalam media sosial salah satu hangat ialah soal keterjaminan data pengguna dalam PADU disebabkan banyak insiden kebocoran data sebelum ini.

"Dari faktanya, memang pendaftaran PADU itu penting kerana ia membabitkan subsidi rakyat, tetapi tidak boleh main dengan elemen ugutan contoh kalau tidak daftar tidak dapat bantuan kerana ia akan beri kesan negatif kepada kerajaan semula," katanya.

Bulan lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, sistem PADU tidak tertakluk di bawah Akta PDPA berikutan semua data terkumpul dikawal selia kementerian dan agensi berkaitan yang sudah terikat dengan akta masing-masing.

Berdasarkan perkongsian Facebook rasmi PADU, seramai 2.56 juta daripada 30.08 juta rekod individu berjaya mengemas kini maklumat mereka dalam sistem PADU setakat 11.59 malam tadi.

Jumlah itu, masih terlalu jauh berbanding sasaran 29 juta individu mendaftar PADU pada penghujung Mac ini.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 2 Januari lalu bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan bagi memudahkan pengumpulan, penyimpanan, dan pengurusan data orang ramai dari pelbagai sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:01 PM