Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Polis sudah melakukan siasatan termasuk menahan penjawat awam selepas didakwa mengasari isterinya secara seksual di sebuah kawasan perumahan, di sini, pada Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan beberapa gambar tangkap layar perbualan WhatsApp dimuat naik oleh pemilik akaun X sejak kelmarin.

Menurutnya, semakan mendapati hantaran itu mempunyai kaitan dengan siasatan berkaitan laporan polis bertarikh 11 Januari lalu yang dilakukan oleh seorang wanita.

"Wanita itu mendakwa dipukul dan dikasari secara seksual oleh suaminya pada 11 malam Ogos 2023.

"Tangkapan kemudian dibuat terhadap suspek yang juga suami kepada wanita terbabit berusia 29 tahun pada 13 Januari 2024 sebelum direman selama tujuh hari untuk siasatan.

"Suspek dibebaskan dengan jaminan polis, sementara arahan lanjut diterima dari timbalan pendakwa raya berhubung siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, berkaitan dakwaan lelaki itu terbabit dalam penjualan air ketum, polis masih menjalankan siasatan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat," katanya.

Kelmarin, seorang wanita mendakwa dikasari suaminya sehingga dirinya mengalami keguguran.

Malah, menerusi perkongsian di Instagram, wanita berkenaan juga menggelar suaminya sebagai tokan ketum di Pasir Gudang.

Perkongsian wanita berkenaan menerima perhatian ramai kerana mendakwa kehilangan bayi yang tidak ternilai akibat perbuatan tidak bertanggungjawab teman hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 1:32 PM