ALLAUDEEN berucap ketika Program Back To School di Sekolah Kebangsaan Lelaki Jalan Batu, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ALLAUDEEN berucap ketika Program Back To School di Sekolah Kebangsaan Lelaki Jalan Batu, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung kes anggota polis yang disyaki terbabit memproses dan mengedar ketum akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ia akan dilaksanakan selepas laporan patologi diperoleh.

"Kita (polis) tunggu laporan daripada patologi sama ada boleh tuduh atau tidak. Kemungkinan dalam masa dua hingga tiga minggu lagi kita akan dapat (laporan patologi).

"Dari segi tindakan tatatertib kita sudah ambil tindakan. Mereka sudah ditahan kerja," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Back To School di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Batu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan Guru Besar SK (Lelaki) Jalan Batu, Roslinawati Yusof.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, tujuh individu termasuk enam anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar air ketum.

Dalam serbuan pada 2.15 pagi, 4 Januari lalu, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 38 tahun yang juga anggota polis di sebuah rumah di Brickfields.

Polis merampas daun ketum anggaran berat 18 kilogram dan air ketum anggaran berat 13.5 liter bernilai RM420, selain pelbagai peralatan memproses ketum, pakaian seragam polis serta wang tunai RM1,200.

Susulan penahanan itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kemudian menahan dua lagi anggota polis dan seorang lelaki awam bagi membantu siasatan.

Ditanya mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera dipercayai didera pengasuh warga asing dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Allaudeen berkata, ia masih dalam siasatan.

Katanya, polis masih mengesan pengasuh terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pada 11 Januari lalu, Harian Metro melaporkan, budak lelaki berusia tiga tahun dipercayai didera, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya yang juga wanita warga asing.

Nasib malang yang menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas dia tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL akibat kecederaan dialami.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 2:27 PM