AHMAD Ridhwan menunjuk pistol bersama enam butir peluru hidup yang dirampas daripada seorang juruteknik kilang. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
AHMAD Ridhwan menunjuk pistol bersama enam butir peluru hidup yang dirampas daripada seorang juruteknik kilang. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Seorang juruteknik kilang ditahan bersama satu objek dipercayai pistol yang berisi enam butir peluru hidup di sebuah stesen minyak di kawasan Telok Panglima Garang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata dalam kejadian pada jam 2.40 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Semasa pemeriksaan dijalankan suspek didapati meletakkan sesuatu di bawah kereta sebelum pemeriksaan lanjut polis menemui satu objek dipercayai pistol yang mana di dalamnya berisi enam butir peluru hidup.

"Susulan tangkapan berkenaan, seorang lagi lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di sekitar Telok Panglima Garang pada jam 3.30 petang, semalam dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Difahamkan kedua-dua suspek adalah rakan dan hasil semakan mereka tiada rekod lampau bersabit jenayah atau dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif lelaki berkenaan menyimpan pistol dan semakan awal mendapati tiada pembabitan dalam kongsi gelap.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di 03-31872222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:06 PM