PISTOL dan peluru yang dirampas dalam serbuan di rumah kongsi sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
PISTOL dan peluru yang dirampas dalam serbuan di rumah kongsi sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana


POLIS menahan seorang lelaki, 30, dan merampas sepucuk Revolver .38 dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit, Silabukan, Lahad Datu, semalam.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menemui sepucuk pistol yang disembunyikan di bawah tong berhampiran sebuah rumah kongsi di ladang berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui enam butir peluru hidup .38 mm yang diletakkan di bawah tong yang sama.

"Susulan penemuan itu, polis menyerbu sebuah rumah terletak kira-kira 50 meter dari lokasi senjata api yang ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, ketika serbuan dijalankan pada 1.30 tengah hari, berlaku sedikit bergelutan sebelum suspek berjaya diberkas.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 6:28 PM