IKAN yang hampir dipasarkan mati dipercayai akibat pencemaran air. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
IKAN yang hampir dipasarkan mati dipercayai akibat pencemaran air. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Tampin: Usaha tiga sahabat berkongsi modal memulakan ternakan ikan air tawar musnah selepas ikan tilapia diternak dalam dua kolam mati dipercayai akibat pencemaran air.

Mohd Fazrul Mohd Saat, 47, dan Mohd Shahrolizam Minhaj, 47, mengeluarkan modal RM5,000 seorang menggunakan duit pengeluaran daripada i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penternak, Muhazam Mohamad, 48, berkata, dia memulakan penternakan di Kampung Pondoi menggunakan duitnya sendiri berikutan dua sahabatnya ketika itu menunggu pengeluaran i-Sinar.

Katanya, dia memajak dua kolam ikan pada Disember lalu dan kira-kira 4,800 anak ikan tilapia.

Menurutnya, mereka menggunakan air bukit berhampiran sebagai punca air ke kolam ikan.

"Namun pada 6 Februari lalu, saya terkejut apabila ikan yang boleh dipasarkan itu mati sebelum membuat laporan kepada agensi berkaitan.

"Maklumat awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati berlaku pencemaran air dari sumber air bukit yang digunakan," katanya ketika dihubungi.

Muhazam berkata, dia dan rakan dipercayai mengalami kerugian sebanyak RM25,000 akibat masalah itu.

"Rakan saya lagi sedih kerana berkongsi modal menggunakan duit i-Sinar. Ketika ikan hampir untuk dipasarkan, ia mati," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir ketika melawat ke kolam ternakan tilapia berkenaan mahu siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian ikan berkenaan.

"Jika benar berlaku pencemaran air berikutan aktiviti perlombongan pasir seperti didakwa, agensi berkaitan perlu melakukan siasatan lanjut," katanya.

Bakri turut mengadakan tinjauan ke kawasan perlombongan pasir yang dipercayai melepaskan air dari kolam rawatan yang dipercayai masuk ke dalam kolam ikan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 4:30 PM