Zaid Salim


Kuala Terengganu: Anggota polis berpangkat Lans Koperal bersama isteri dan bayi berusia 12 bulan nyaris maut apabila rumah mereka di tingkat empat Perumahan Polis Padang Hiliran, di sini, terbakar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 pagi itu, mangsa, Wan Asrol Wan Ibrahim dan Norazlin Abd Ghani, masing-masing berusia 27 tahun serta bayi Wan Tiara Alisa dikatakan sedang tidur.

Mangsa yang tidak dapat keluar berikutan asap tebal dikatakan memecah cermin nako di bahagian belakang sebelum menjerit meminta tolong.

Kesemua mangsa bernasib baik apabila diselamatkan jiran yang menyedari kejadian itu selepas terbau asap.

Difahamkan, beberapa penghuni blok berkenaan bertindak menendang pintu utama sebelum berjaya mengeluarkan kesemua mangsa.

Ketiga-tiga mangsa yang lemah akibat terhidu asap tebal dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, oleh jiran sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, tiga jentera bomba bersama 18 anggota dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 2.50 pagi.

Katanya, sebaik tiba, api sudah dipadamkan menggunakan alat pemadam kebakaran dan semua mangsa sudah dibawa ke hospital oleh penghuni blok berkenaan.

"Kebakaran membabitkan ruang tamu di sebuah rumah di tingkat empat yang mengalami kerosakan 30 peratus.

"Pasangan suami isteri terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil, namun anak mereka masih menerima rawatan dipercayai lemas asap," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

KEADAAN ruang tamu kediaman Lan Koperal Wan Asrol yang terbakar . FOTO Zaid Salim.
KEADAAN ruang tamu kediaman Lan Koperal Wan Asrol yang terbakar . FOTO Zaid Salim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 12:02 PM