GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengingatkan peniaga yang menjual colek sepanjang Ramadan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan terutama premis yang tidak meletakkan tanda harga atau mengelirukan pelanggan.

"Setakat ini tiada lagi premis yang dikenakan tindakan kompaun sebaliknya hanya diberi amaran berhubung kesalahan tidak meletakkan tanda harga serta harga yang mengelirukan.

"Pemantauan berdasarkan aduan yang diterima selain premis yang dipilih secara rawak dan tidak terkecuali lokasi yang viral kerana kadang-kadang ia hanyalah promosi semata-mata tapi harga yang dikenakan mengelirukan pelanggan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azman berkata, ramai mengambil kesempatan untuk muncul sebagai peniaga colek pada bulan Ramadan sahaja dan bertindak mengambil keuntungan berlipat kali ganda daripada perniagaan itu.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, bermula 12 Mac lalu sehingga semalam, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 2,227 premis sempena Op Pantau 2024.

Menurutnya lagi, sebanyak empat kes dihasilkan masing-masing tiga di bawah Akta Timbang Sukat 1972 manakala satu kes membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Pemeriksaan dijalankan di premis pemborong serta peruncit dengan kekuatan 142 penguatkuasa," katanya.

Beliau terdahulu hadir di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong, di sini sempena pelancaran Bazar Ramadan Rahmah dan Inisiatif Mysavefood 2024 peringkat negeri Kelantan.

Beliau berkata, lebih 200 gerai disediakan di bazar Ramadan Rahmah itu dengan 90 daripadanya menjual menu rahmah manakala selebihnya menyediakan pembayaran tanpa tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 9:27 PM