MUHAMMAD Zafran menunjukkan kemahiran menenun songket tradisional menggunakan perlatan lama. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MUHAMMAD Zafran menunjukkan kemahiran menenun songket tradisional menggunakan perlatan lama. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Perlu memberi tumpuan penuh hingga 12 jam sehari malah setiap tenunan songket memerlukan tempoh masa antara dua minggu hingga sebulan untuk disiapkan namun ia bukan penghalang buat Muhammad Zafran Ariffin, 22.

Malah beliau berbangga dapat menyambung warisan keluarga malah sanggup berhabis ribuan ringgit bagi membeli kelengkapan 'kek' tenun songket yang diperoleh sekitar Kelantan dan Terengganu serta membuka bengkel sendiri.

Muhammad Zafran berkata beliau mahu mengekalkan pembuatan songket tenun secara tradisional kerana warisan itu perlu dipelihara.

"Saya kini dalam proses menyiapkan sampin songket dan berhasrat untuk menghasilkan tiga sampin songket dalam tempoh tiga bulan.

"Saya menganggarkan tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan satu tenunan songket adalah di antara dua minggu hingga sebulan bergantung kepada corak dan panjang kain.

"Memang proses pembuatannya mengambil tempoh yang lama kerana ia adalah kerja tangan sepenuhnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun," katanya.

Katanya, kerja penenunan songket membabitkan proses rumit selain memerlukan perhatian dan kesabaran tinggi namun keindahan setiap hasil memberi kepuasan buat dirinya.

Muhammad Zafran berkata dia kini mahir dalam penenunan songket selepas mendapat pendidikan di Institut Kraftangan Negara di Rawang, Selangor selama tiga tahun.

"Pada masa sama, pengalaman sebagai tukang jahit sebelum ini membolehkan saya menambah pengalaman baharu dalam dunia tenunan.

"Bagi menghasilkan corak pada tenunan songket, saya akan melakar terlebih dahulu. Antara corak yang saya hasilkan ialah bunga bintang, pagar istana, kendik tali dan air muleh berakar.

"Tenunan songket Kelantan tersohor selain kain yang dihasilkan di negeri ini juga berkualiti tinggi," katanya ketika ditemui di bengkel tenunan songketnya di Kampung Pauh, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 5:12 PM