FATIN menunjukkan kemahiran menenun songket tradisional menggunakan peralatan lama.
FATIN menunjukkan kemahiran menenun songket tradisional menggunakan peralatan lama.
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Biasanya kemahiran menenun songket Terengganu dipelopori anak jati negeri ini sebagai meneruskan legasi keluarga, namun berlainan bagi seorang wanita apabila sanggup berhijrah dari negerinya di pantai barat dan menetap di negeri ini untuk bekerja dalam bidang penenunan songket tradisional Terengganu.

Fatin Afiqah Mohd Noh, 27, dari Serendah, Selangor, berkata, dia mula berkecimpung dalam tenunan songket Terengganu sejak belajar di Institut Kraftangan Negara dan bermula dari situ, kini dia mahir dalam penenunan songket yang biasa dipelopori masyarakat negeri ini sebagai mewarisi pekerjaan keluarga.

Katanya yang mempunyai diploma dalam bidang tenunan songket, tempoh tiga tahun melanjutkan pengajian dan dua tahun bekerja dengan sebuah syarikat di inkubator Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu, memberi pelbagai pengalaman baru baginya.

“Walaupun sukar, lama-kelamaan ia menjadi mudah dan bagi menghasilkan songket dari benang sutera saya mengambil masa kira-kira sebulan dan bagi kain kapas pula saya boleh menyiapkannya dua helai dalam tempoh sebulan.

“Biasanya songket daripada benang sutera dijual daripada harga RM4,000 dan kain kapas pula RM1,000 dengan pelbagai motif flora serta fauna,” katanya ketika ditemui pada Program Sehari Bersama Kraftangan Terengganu Industri Songket, Cerita Kejayaan, Cabaran anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu, di sini, semalam.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, keluarganya tidak menghalang minatnya berkecimpung dalam bidang tenunan songket Terengganu, hingga membawa dirinya berhijrah ke negeri ini.

“Pengalaman sebagai tukang jahit sebelum ini membolehkan saya menambah pengalaman baru dalam dunia tenunan dan ditambah pula tenunan Terengganu amat tersohor serta kain yang dihasilkan di negeri ini berkualiti tinggi,” katanya.

Fatin berkata, peluang mempelajari dan kini bekerja sebagai penenun songket tradisional Terengganu membolehkannya menimba ilmu berkaitan pembuatan kain berkenaan, selain bertuah kerana ilmu tenunan dapat dikuasai dengan baik.

“Saya berharap satu hari nanti saya boleh mengusahakan tenunan songket sendiri kerana masih banyak yang perlu dipelajari bagi mengetahui selok-belok tenunan tradisional Terengganu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 6:42 AM