PENIAGA Muhammad Sorian Mohd Zahir meletakkan Imbas digital kupon Rahmah MBPJ. FOTO Aswadi Alias
PENIAGA Muhammad Sorian Mohd Zahir meletakkan Imbas digital kupon Rahmah MBPJ. FOTO Aswadi Alias
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Seramai 924 peniaga di 19 bazar Ramadan dalam kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan perkhidmatan tanpa tunai kepada pelanggan bagi memudahkan urusan pembelian.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pihaknya mewajibkan penyediaan perkhidmatan itu sebagai persediaan menuju negeri pintar 2025.

"Kita memperkenalkan kaedah cashless (tanpa tunai) ini dan mewajibkan semua pemegang permit Bazar Ramadan 2024 melampirkan salinan kod QR semasa membuat permohonan.

"Kesemua peniaga perlu mempamerkan kod QR itu bagi tujuan pembayaran oleh pembeli," katanya dalam sidang media semasa Program Lawatan Datuk Bandar Petaling Jaya ke Bazar Ramadan 'Digital & Clean' di Bazar Ramadan Kelana Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dan Timbalan Datuk Bandar, Aznan Hassan.

Mengulas lanjut, Mohamad Zahri berkata, MBPJ turut bekerjasama dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) bagi menyediakan kupon bernilai RM20 kepada pengunjung di empat bazar Ramadan terpilih di Petaling Jaya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya komited memastikan 19 bazar berada dalam keadaan bersih dan kondusif.

Katanya, MBPJ menjalankan pemeriksaan kebersihan termasuk hand swab ke atas peniaga bazar bertujuan mengenal pasti virus e-coli.

"Berdasarkan rekod virus itu tahun lalu, sebanyak 363 sampel diambil dan 82 kes positif," katanya.

Justeru, beliau berkata, pemeriksaan berterusan akan dilakukan terhadap peniaga bazar bagi menjamin tahap kebersihan dan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 9:00 PM