CHA Hoong Fong (kiri) ditemui media selepas pelupusan barang kes perjudian, kontraban, bitcoin di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
CHA Hoong Fong (kiri) ditemui media selepas pelupusan barang kes perjudian, kontraban, bitcoin di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Klang: Polis meminta keluarga kanak-kanak perempuan yang cedera digigit dua anjing liar di Taman Suria Pendamar di sini, Ahad lalu segera tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, setakat ini hanya satu laporan polis diterima hasil aduan seorang lelaki dikatakan pemilik anjing itu.

"Kita dalam proses mengesan mangsa untuk tindakan selanjutnya. Justeru kita minta ibu atau keluarga kanak-kanak itu segera tampil ke balai polis berdekatan dan kita bersedia membantu.

"Setakat ini, polis hanya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 50 an yang didakwa sebagai pemilik anjing pada hari Ahad lalu.

"Lelaki itu membuat laporan bagi menafikan anjing-anjing itu adalah miliknya dan siasatan awal mendapati ia anjing liar.

"Kami juga sudah meminta bantuan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk menangkap anjing liar itu bagi mengelak insiden sama berulang," katanya selepas program pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, tadi.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Nur Acha Dawina menerima 15 jahitan selepas diserang dan digigit dua anjing liar di kawasan rumahnya.

Menurut ibu mangsa, Norhashiqin Rosli, 29, kejadian berlaku pada jam 2 jam petang ketika anaknya sedang membuang sampah bersama ibu saudara.

Sementara itu, Hoong Fong berkata IPD Klang Selatan melupuskan barang kes bagi tahun 2023 berkaitan aktiviti perjudian, kontraban dan perlombongan mata wang kripto bitcoin berjumlah RM700,000.

Beliau berkata, kesemua barang kes itu dilupuskan selepas siasatan menyeluruh selesai dilakukan dan semua pesalah dikenakan pertuduhan serta hukuman yang setimpal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 1:38 PM