Fadhlina Sidek beramah mesra bersama pelajar ketika membuat lawatan sempena pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di SJK(C) Bandar Sungai Long, Kajang hari ini. FOTO BERNAMA
Fadhlina Sidek beramah mesra bersama pelajar ketika membuat lawatan sempena pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di SJK(C) Bandar Sungai Long, Kajang hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai rancangan untuk merombak ekosistem pendidikan vernakular setakat ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, sekolah vernakular juga diiktiraf oleh Akta Pendidikan 1996 dan KPM akan terus berpegang pada pendirian itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengambil maklum terhadap cadangan berkenaan sekali gus menegaskan pendirian kementerian adalah untuk bertindak berdasarkan ketetapan Akta Pendidikan 1996.

"Kita mendengar pandangan tersebut tetapi untuk hari ini pendirian KPM adalah untuk berdiri tegak dan juga memperkukuhkan Akta Pendidikan dan sekolah vernakular ini seperti yang saya tegaskan sebelum ini diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut berdasarkan Akta Pendidikan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, di sini, bagi meninjau hari pertama persekolahan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh dalam kenyataan pada pada 9 Mac lalu mencadangkan supaya penilaian menyeluruh dilakukan terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka itu turut mencadangkan satu kajian menyeluruh dilakukan berhubung ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Mengulas mengenai pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Fadhlina berkata, ia adalah agenda besar KPM.

Beliau berkata, bahasa kebangsaan masih menjadi keutamaan dan komitmen KPM selain memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris.

"Itu (pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan) memang agenda besar kita sebab saya fikir pada kedudukan ini, bahasa kebangsaan masih lagi menjadi keutamaan selain memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 2:13 PM