Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) perlu lebih tangkas untuk memperkasakan pembangunan wakaf di negara ini dengan turut menggiatkan kerjasama di peringkat Persekutuan dan membabitkan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihak berkenaan boleh menggembleng tenaga bersama MAIN supaya usaha melonjakkan potensi wakaf dapat direalisasikan pada 2030.

Menurutnya, selain itu, MAIN dengan syarikat korporat boleh melaksanakan Wakaf Produktif atau Wakaf Ekonomi bagi mengoptimumkan penggunaan hartanah wakaf;

"Meneroka konsep Wakaf Bertempoh sebagai sumber dana alternatif bagi pembangunan wakaf seluruh negara dengan pembabitan syarikat korporat, dana luar negara, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan individu.

"Selain itu, mempergiat segmen pengagihan dana wakaf bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Na'im melancarkan myWaqaf PTPTN iaitu kerjasama antara YWM dan PTPTN yang memberi fokus kepada Wakaf Pendidikan Tinggi serta Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di universiti awam terbitan Jawhar.

Turut hadir ialah Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Jawhar Datuk Selamat Paigo dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr Ridzwan Bakar.

Mohd Na'im berkata, Kementerian Kewangan, MyCIF, Jawhar, YWM dan agensi lain juga disaran bekerjasama di peringkat Persekutuan dan membabitkan MAIN agar projek berimpak tinggi seperti infrastruktur, sekuriti makanan dan kesihatan dapat dilaksanakan demi menjayakan Ekonomi Madani termasuk merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.

"Saya juga mengesyorkan supaya sektor korporat turut membabitkan penyertaan Jawhar dan YWM dalam pembangunan inisiatif wakaf agar perkara ini dapat diselaraskan dengan lebih tersusun dengan pembabitan bersama MAIN," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, YWM mencatatkan kutipan wakaf tunai sebanyak RM39,550,462.18 sehingga hujung tahun lalu iaitu meningkat 54 peratus sejak dilancarkan pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 6:55 PM
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo (tiga dari kiri) dan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim (empat dari kiri) melancarkan Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam Malaysia terbitan JAWHAR di Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Sasana Kijang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo (tiga dari kiri) dan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim (empat dari kiri) melancarkan Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam Malaysia terbitan JAWHAR di Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Sasana Kijang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN