Presenna Nambiar

Kuala Lumpur: Seorang lagi pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) meletakkan jawatannya hari ini menjadikannya tiga peletakan jawatan sejak sebulan lalu di tabung pencen untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Pengarah Kanan Strategi LTAT Dayana Rogayah Omar dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain.

Sebelum ini, LTAT menyaksikan peletakan jawatan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada 31 Januari lalu diikuti oleh Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari lalu.

Surat peletakan jawatan Ahmad Nazim kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin yang dilihat oleh Business Times melahirkan kebimbangan bahawa keputusan untuk menangguhkan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 akan menjejaskan pelaksanaan dan menimbulkan risiko besar kepada kunci kira-kira LTAT, selain memberi kesan kepada keupayaan memenuhi sasaran dividen minimum untuk 2023.

Sementara itu, Pharmaniaga Berhad hari ini turut mengumumkan bahawa Dayana meletak jawatan sebagai Anggota Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa 14 Februari lalu.

Lembaga Pengarah Pharmaniaga menerima surat peletakan jawatannya pada 16 Februari lalu.

Dayana, dilantik sebagai pengarah ganti untuk seorang lagi penama LTAT, Ketua Pegawai Kewangannya, Mohammad Ashraf Md Radzi.

Pharmaniaga menyerahkan pelan penyusunan semula syarikat itu pada 29 November 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 4:05 PM