HAJIJI Noor
HAJIJI Noor
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah menyifatkan sebarang tuntutan pihak luar ke atas wilayahnya oleh mana-mana kumpulan sebagai cubaan remeh untuk menggugat keamanan negeri dan mengancam kedaulatan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata atas sebab itu, kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan termasuk yang terbaharu oleh kumpulan serpihan Sulu yang menamakan diri sebagai United Tausug Citizens (UTC).

Katanya, cubaan dilakukan oleh kumpulan yang mendakwa sebagai penjaga sah wilayah Kesultanan Sulu itu sama seperti mempersoalkan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

"Rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan Negeri mahupun rakyat.

"Malah, tuntutan pihak mendakwa pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu sebelum ini berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.

"Dakwaan UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu gugat keamanan negeri dan ia sama juga dengan mengancam kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menghargai pendirian kukuh Kerajaan Persekutuan tidak melayan dakwaan kumpulan terbabit dan yakin Sabah juga mendapat sokongan masyarakat global.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Malaysia menolak semua tuntutan ke atas Sabah termasuk kes terbaharu membabitkan sebuah kumpulan yang menamakan diri sebagai United Tausug Citizens People of The Sultanate of Sulu (UTC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 9:52 AM