MOHAMMAD (dua dari kiri)  merasmikan Kempen Respek Ramadan dan Operasi Bersepadu Bulan Ramadan Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di perkarangan Masjid Jamek Kampung Rawa, Pulau Pinang di sini hari ini. Turut bersama Pengarah JHEAIPP  Datuk Zulkifli Rashid (kiri). FOTO Mikail Ong
MOHAMMAD (dua dari kiri) merasmikan Kempen Respek Ramadan dan Operasi Bersepadu Bulan Ramadan Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di perkarangan Masjid Jamek Kampung Rawa, Pulau Pinang di sini hari ini. Turut bersama Pengarah JHEAIPP Datuk Zulkifli Rashid (kiri). FOTO Mikail Ong
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang membenarkan peniaga menjalankan perniagaan makanan sepanjang bulan Ramadan tanpa had waktu operasi dengan syarat menghormati kemuliaan bulan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, tiada had waktu operasi yang ditetapkan dan peniaga makanan tidak perlu hanya membuka perniagaan bermula waktu petang sehingga ke malam.

"Mereka (peniaga) boleh berniaga dari pagi. Bagaimanapun, dari sudut respek Ramadan ini, orang awam tidak dibenarkan makan di khalayak ramai.

"Sebab itu kita lancarkan program ini kerana kita faham, akan ada uzur syarie. Maknanya dia beli, bawa balik dan makan di rumah.

"Dia (uzur syarie) tak boleh makan di khalayak ramai, itu pon boleh tangkap kerana tidak menghormati Ramadan," katanya selepas melancarkan Kempen Respek Ramadan dan Operasi Bersepadu Bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Rawa, di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Alamin Majok.

Menurut Mohamad, Pulau Pinang mempunyai enam daerah di bawah pentadbiran agama Islam, jadi operasi akan dijalankan dengan meletakkan penguat kuasa di setiap daerah untuk menjalankan pemantauan setiap hari.

Beliau berharap dengan menguar-uarkan Kempen Respek Ramadan dan Operasi Bersepadu ini dapat dijadikan satu bentuk pencegahan dalam kalangan masyarakat yang beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 8:57 PM