GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengenal pasti beberapa premis makanan dan kawasan panas yang sering menjadi tumpuan segelintir umat Islam makan di siang hari pada Ramadan.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, pihaknya meminta pengusaha atau pemilik premis makanan terbabit supaya menghormati bulan Ramadan yang mulia dengan tidak menjual makanan sebelum waktu dibenarkan.

"Di Melaka kita mempunyai beberapa 'hot spot' walaupun bawah daripada 10 lokasi dikenal pasti namun kita memandang serius akan situasi ini.

"Pasukan penguatkuasaan JAIM akan digerakkan sepanjang Ramadan dari satu lokasi ke lokasi lain termasuk kawasan panas untuk melakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan jika didapati ada melakukan kesalahan," katanya.

Menurutnya, masyarakat setempat juga diminta menyampaikan maklumat sekiranya terdapat premis yang menjual makanan di waktu siang serta ada individu yang makan di khalayak ramai.

"Kita minta masyarakat untuk jadi mata kepala dalam berkongsi maklumat supaya pasukan penguatkuasaan JAIM dapat mengambil tindakan.

"Individu ini pasti ada pelbagai taktik untuk makan makanan di siang hari dan sekiranya kita dapati mereka makan di khalayak ramai, tindakan akan diambil," katanya.

Md Azhan berkata, peniaga atau penjual tertakluk kepada syarat dan arahan yang dikeluarkan untuk memulakan operasi sepanjang Ramadan.

"Saya nasihatkan mereka supaya tidak menjual makanan atau minuman pada waktu yang tidak sesuai misalnya jam 11 pagi atau 12 tengah hari.

"Jualan untuk hidangan atau minuman berbuka puasa kebiasaannya hanya dibenarkan dijual pada jam 3 atau 4 petang ke atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:06 PM