DUA individu yang meragut rantai seorang pekerja kedai serbaneka diburu. FOTO Tular
DUA individu yang meragut rantai seorang pekerja kedai serbaneka diburu. FOTO Tular
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Langat: Polis memburu dua individu yang meragut rantai seorang pekerja kedai serbaneka di Jenjarom, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, terdahulu polis mengesan satu hantaran yang dimuat naik pengguna akaun aplikasi TikTok memaparkan video kejadian itu hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati pada jam 12.24 tengah hari semalam pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 51 tahun.

"Pengadu memaklumkan dua lelaki memakai topi keledar warna hitam dan berbaju warna merah masuk ke dalam kedai.

"Salah seorang daripada suspek menarik rantai leher miliknya sehingga terjatuh ke lantai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sufian berkata, polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK).

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Mana-mana individu yang menjadi saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 5:19 PM