SUM menunjukkan serpihan botol arak serta pisau yang digunakan suspek. (Gambar kecil) Kepala Koperal Madarsa yang cedera dipukul dengan botol arak. FOTO L Manimaran
SUM menunjukkan serpihan botol arak serta pisau yang digunakan suspek. (Gambar kecil) Kepala Koperal Madarsa yang cedera dipukul dengan botol arak. FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Anggota polis cedera di kepala akibat diketuk dengan botol arak ketika cuba menahan penyamun di kedai runcit di Kampung Simee di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Koperal Madarsa Hussain, 51, menerima enam jahitan di kepala dan suspek yang memukulnya turut berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 28 tahun yang bersenjatakan pisau bertindak menyamun kedai runcit dan pemilik kedai berkenaan melarikan diri sebelum mendapatkan bantuan.

"Kebetulan ketika itu terdapat sepasukan tiga anggota polis berada di kawasan berhampiran dan sebaik melihat kehadiran polis, suspek terus menyerang polis dengan menggunaka botol arak.

"Koperal Madarsa dipukul di belakang kepala hingga menyebabkan cedera sebelum ketiga-tiga anggota polis bergelut dan menahan suspek," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 2:27 PM