Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta masyarakat memberi sokongan dan dukungan kepada program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention) dalam usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

Beliau berkata, cadangan kerajaan memulakan program tahanan rumah itu tidak seharusnya difahami dengan naratif yang negatif kononnya dengan hasrat mahu meletakkan individu tertentu yang sedang menjalani hukuman penjara supaya hanya dikenakan tahanan di rumah berbanding dipenjarakan.

"Saya hendak sanggah naratif 'nakal' yang dimainkan segelintir media kononnya dengan pelaksanaan tahanan rumah ini bermaksud hendak letak Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) bawah penahanan di rumah. Punyalah nakal (naratif) sampai tak boleh tengok perspektif hendak kurangkan kesesakan penjara.

"Sedangkan pelaksanaannya disasar khusus untuk kategori (banduan) tertentu dan akan ada panel yang menilai dan bagi jenis kesalahan yang dicadangkan hanya bagi mereka yang dijatuhi hukuman penjara kurang dari empat tahun. Kalau dikenakan penjara sehingga 20 tahun kerana jenayah yang berat takkan senang-senang sahaja 'home detention'.

"Ia khusus untuk kategori tertentu, ada panel yang akan menilai dan bagi jenis kesalahan yang kami cadang hendak lakukannya iaitu mestilah yang dijatuhi hukuman kurang empat tahun penjara. Ia tak akan mengancam masyarakat kerana dia ada proses, panel yang akan melihat bagaimana kes sesuatu banduan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerjanya ke Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi.

Kata Saifuddin lagi, ketika ini, ada kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara dengan kadar nisbah 244 banduan bagi 100,000 penduduk, justeru melebihi kadar nisbah piawaian antarabangsa iaitu 145 banduan bagi 100,000 penduduk.

Ditanya sama ada pelaksanaan kaedah tahanan itu akan membabitkan banduan sedia ada atau banduan bagi kemasukan selepas daripada ia berkuat kuasa, Saifuddin berkata, ia hanya akan ditentukan selepas proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dibuat termasuk daripada sudut mengenal pasti jika adanya keperluan untuk peruntukan undang-undang atau akta berkaitan digubal.

"Ada keperluan untuk kita semak undang-undang, akta, dan peraturan berkaitan. Kita akan semak sekiranya apakah adanya keperluan untuk kita buat akta baharu misalnya, mahupun semakan untuk meminda akta atau peraturan sedia ada dan kemudian kita kena bincang dengan pemegang taruh dalam mencapai objektif.

"Jadi masyarakat termasuk aktivis dan semua pemegang taruh patut bagi dukungan kepada niat yang kerajaan hendak laksanakan ini. Saya baharu buat pengumuman mengenainya (tahanan di rumah) dan ia harus disertai dengan semakan yang akan dibuat oleh pegawai undang-undang, KDN, dan lain-lain," katanya.

Kelmarin, Saifuddin dilapor mengumumkan bahawa kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah dengan penghuni penjara yang terbabit bagi program berkenaan terdiri daripada individu yang berpenyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu mengandung.

Menurutnya, adalah lebih manusiawi jika banduan terbabit diletakkan di luar dari tembok penjara termasuk melalui pemakaian gajet atau peranti agar kaedah tahanan di rumah itu dapat dilaksana.

Katanya, menerusi program sedemikian yang seperti Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib serta Program Pemulihan Pemasyarakatan, kerajaan bukan sahaja dapat menangani masalah kesesakan penjara malah ia sebagai langkah penjimatan kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 2:17 PM