MOHD Fazli (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas 12 pertuduhan rasuah membabitkan wang sejumlah RM3,700 antara Julai hingga November 2018. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Fazli (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas 12 pertuduhan rasuah membabitkan wang sejumlah RM3,700 antara Julai hingga November 2018. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan rasuah berjumlah RM3,900 antara Julai dan Disember 2018.

Tertuduh, Mohd Fazli Azizan, 38, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Dia didakwa menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan Tan Kok Seng, 58, ke dalam akaun perbankan peribadinya sebanyak 12 transaksi bernilai antara RM100 dan RM600 setiap satu transaksi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai RM500 daripada Tan melalui pemindahan perbankan dalam talian menggunakan akaun bank Lee Chuan Liang walaupun menyedari Tan mempunyai kaitan dengan tugas rasminya dalam Maritim Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Maybank Islamic Berhad di Jalan Sultan Badlishah, di sini, pada 5 Julai 2018.

Selain itu, tertuduh turut didakwa terhadap 11 pertuduhan berasingan lain kerana menerima rasuah daripada Tan bernilai antara RM100 hingga RM600 menggunakan akaun bank Lee.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 3 Ogos hingga 2 Disember 2018 di cawangan bank sama.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Sanusi manakala tertuduh diwakili peguam Syed Naqiuddin Shahab.

Pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Syed Naqiuddin merayu jumlah jaminan yang lebih rendah kerana anak guamnya mempunyai dua isteri dan tiga anak untuk ditanggung.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac depan untuk tarikh sebutan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sepanjang perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:19 PM