DUA individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan kereta dan motosikal di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham, hari ini. FOTO ihsan bomba
DUA individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan kereta dan motosikal di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham, hari ini. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta dan motosikal di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Azman Hussin berkata, kebakaran membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70 dengan dua mangsanya membabitkan seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 60-an dan 50-an.

Hubungan antara kedua-dua mangsa itu bagaimanapun belum dikenal pasti.

Menurutnya, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima jam 10.20 pagi dengan sepasukan 10 anggota diatur gerak ke lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa itu melecur hampir keseluruhan badan. Ketibaan bomba di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa sudah terbaring di tepi kereta dipercayai sudah dibawa keluar oleh orang awam," katanya hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut, selain bomba meneruskan operasi memadamkan api.

Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, tidak dapat dipastikan sama ada dua mangsa itu berada di dalam MPV atau menunggang motosikal sebelum kejadian berlaku.

Ditanya sama ada kebakaran itu berpunca daripada kemalangan, jurucakap berkenaan sekadar menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:18 PM