KEADAAN rumah di Hala Klebang Restu 13, yang terbakar petang tadi. FOTO ihsan bomba
KEADAAN rumah di Hala Klebang Restu 13, yang terbakar petang tadi. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang wanita melecur dalam kebakaran membabitkan rumah teres setingkat di Hala Klebang Restu 13, Medan Klebang Restu, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 32 tahun itu melecur pada bahagian tangan dan kaki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas A berkeluasan 111.5 meter persegi.

Beliau berkata, kebakaran menyebabkan kemusnahan 50 peratus bahagian rumah terbabit dengan mangsa dikatakan disambar api ketika membuka pintu sebuah bilik bagi mengenal pasti punca kebakaran.

"Anggota EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Bomba membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, panggilan berhubung kejadian diterima jam 5.48 petang tadi sebelum anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu anggota BBP Meru Raya dan Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru digerakkan ke lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 9:17 PM