Rumah didiami Azmi bersama keluarganya di Kampung Pilajau, Beaufort musnah terbakar, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Rumah didiami Azmi bersama keluarganya di Kampung Pilajau, Beaufort musnah terbakar, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Juwan Riduan


Beaufort: Lelaki sanggup menggadaikan nyawa menyelamatkan adik perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) daripada rentung selepas kediaman mereka di Kampung Pilajau, di sini, musnah terbakar malam tadi.

Malah tindakannya itu turut menyelamatkan beberapa rumah jiran daripada terbakar.

Kejadian jam 8 malam itu mengakibatkan Azmi Nuin, 47, sesak nafas dipercayai akibat terhidu asap dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Beaufort, manakala adiknya Noraidah, 39, selamat.

Ketika kejadian, Azmi dan Noraidah berada di dalam rumah manakala tiga lagi ahli keluarganya berada di tempat lain.

Ketika api marak, Azmi dikatakan segera membawa keluar adiknya dan memadam kebakaran yang marak daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran jam 8.02 malam.

Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik pasukan operasi tiba didapati sebuah rumah jenis kekal terbakar 90 peratus.

"Operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran dan seorang mangsa lelaki yang cuba memadam kebakaran mengalami sesak nafas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Beaufort menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

"Anggota sukar untuk masuk ke dalam rumah bagi kerja-kerja pemadaman kerana masih ada bekalan elektrik lalu menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk bantuan.

"Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kuala Penyu bagi bantuan sumber air disebabkan tiada sebarang pili bomba dan sumber air terbuka berhampiran lokasi kebakaran," katanya.

Mohamad Hasbullah berkata, operasi terkawal pada 8.55 malam dan tamat sepenuhnya sejam kemudian.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 10:34 AM