Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan replika kunci ketika hadir ke merasmikan  Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Besar Jertih, di sini, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan replika kunci ketika hadir ke merasmikan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Besar Jertih, di sini, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Selepas hampir tujuh tahun menanti, peniaga di pasar sementara Jertih lega apabila premis kekal Pasar Besar Jertih menelan kos RM 6 juta mula beroperasi pada pertengahan Februari lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses pembinaan premis berkenaan mengambil masa lama kerana berdepan dengan beberapa kekangan antaranya penularan Covid-19 serta isu teknikal.

Katanya, projek pembinaan bangunan bermula pada tahun 2017 dan dijangka siap pada April 2019 namun ia tertunda sehingga awal tahun 2022.

"Kita percaya ada lagi potensi yang boleh dibangunkan bagi tarikan pengunjung ke sini," katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Besar Jertih di sini, hari ini.

Katanya, setakat kini 74 peniaga sudah memulakan operasi perniagaan di premis berkenaan yang mampu menempatkan hampir 100 lot perniagaan dengan bayaran sewa RM 150 sebulan.

Sementara itu, tukang jahit, Kamariah Che Sulaiman, 63, berkata, dia gembira kerana selepas lebih 30 tahun berniaga dengan tiga kali berpindah randah akhirnya mempunyai tempat selesa untuk meneruskan operasi perniagaan.

Katanya, pasar baru berkenaan lebih selesa berbanding premis lama serta mudah dikunjungi pelanggan.

"Pasar besar ini dilengkapi kemudahan asas seperti surau, air, elektrik serta tanda untuk kemudahan peniaga serta pengunjung.

"Harga sewa murah serta berpatutan untuk peniaga dan berharap harga berkenaan dikekalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 2:15 PM