DATUK Johari Ghani beramah mesra dengan pengundi di Pasar Jalan Raja Bot. FOTO Aswadi Alias
DATUK Johari Ghani beramah mesra dengan pengundi di Pasar Jalan Raja Bot. FOTO Aswadi Alias
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sejak penubuhannya 64 tahun lalu, Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit di sini, menjadi tumpuan warga kota dan pengunjung luar untuk mendapatkan barangan basah dan keperluan dapur.

Namun, sejak sekian lama infrastruktur pasar berkenaan masih tidak sempurna dan teratur termasuk tiada parkir serta sistem perparitan lama kerana projek menaik taraf pasar itu masih terbengkalai.

Ia mengakibatkan pelanggan semakin berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga di pasar itu yang pernah mencatat kehadiran pengunjung mencecah 15,000 sehari berbanding hanya 4,000 hingga 5,000 sehari ketika ini.

Pengunjung, Mohd Zulhaidi Md Isa, 49, berkata, dia ke pasar berkenaan setiap hari bagi membeli barangan basah untuk berniaga makanan di kawasan berhampiran.

"Pasar ini memang menjadi tumpuan ramai kerana satu-satunya pasar besar yang terdapat di tengah-tengah bandar.

"Saya sendiri memang suka datang sini setiap hari untuk mencari barangan untuk kedai makan kerana semuanya lengkap di bawah satu bumbung selain sudah kenal lama dengan peniaga di sini.

"Cuma isunya ialah masalah parkir dan sesak kerana gerai jualan tidak teratur dan lantai berlecak.

"Sebagai pelanggan tetap, saya berharap projek naik taraf pasar ini akan segera disiapkan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung dan peniaga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Sazali Latif, 61, yang berniaga ayam di pasar itu sejak 30 tahun lalu berkata, projek naik taraf itu sepatutnya siap pada 2018, namun ia masih terbengkalai sehingga kini

"Kita suka berniaga sini kerana akses ke sini mudah dan lokasi strategik di tengah-tengah bandar.

"Tetapi apabila ia masih tidak dinaik taraf, bukan saja peniaga, malah pengunjung kurang selesa dan hendak datang sini pun mungkin fikir banyak kali kerana masalah parkir," katanya.

Penasihat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Chow Kit, Yong Pit Wei berkata, isu utama pasar berkenaan ialah masalah infrastruktur dan parkir serta sistem gerai penjaja yang tidak teratur.

"Keutamaan mesti kepada laluan keluar masuk yang sempurna dan parkir kerana jika sistem ini tiada pelanggan akan hilang.

"Selain itu, kedudukan susun atur peniaga juga terlalu berselerak hingga mengakibatkan peniaga terutama di tempat tersorok di sudut dan bahagian belakang tidak boleh hidup kerana tidak mampu menarik kehadiran pelanggan," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Sharin Darus berkata, kira-kita 2,800 daripada 4,000 keseluruhan di sekitar pasar berkenaan terjejas dan terpaksa gulung tikar kerana kehilangan pelanggan akibat projek naik taraf terbengkalai.

"Ilham menaik taraf pasar ini ketika Datuk Johari Abdul Ghani menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, namun selepas kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), wakil rakyat kerajaan Pakatan Harapan tidak ambil tahu langsung tentang pembangunan di pasar ini cuma fokus isu tanah Kampung Baru saja.

"Yang paling kasihan, peniaga di sini terjejas kerana pembaharuan pasar ini belum terlaksana mengakibatkan pelanggan berkurangan dan peniaga terjejas hingga sebahagian daripada mereka terbiar dan gulung tikar.

"Jadi, kami mahukan wakil rakyat yang berwibawa dan mampu membawa suara kami ke Kabinet sekali gus menyematkan periuk nasi peniaga di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 2:07 PM