ANGGOTA tentera dilihat menolak troli yang dipenuhi barang makanan di sebuah pasar raya di Kuantan. FOTO Bernama
ANGGOTA tentera dilihat menolak troli yang dipenuhi barang makanan di sebuah pasar raya di Kuantan. FOTO Bernama
Asrol Awang


KERAJAAN Pahang membenarkan beberapa kelonggaran syarat berkaitan premis perniagaan dan sektor pembinaan di Pahang berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua premis perniagaan dibenarkan beroperasi kecuali yang dilarang di bawah Warta Kerajaan Persekutuan.

Katanya, premis perniagaan yang dibenarkan termasuk gerai makan tepi jalan (berbumbung), pusat penjaja, penjaja tepi jalan (sementara) dan penjaja beredar di seluruh Pahang kecuali di kawasan yang mempunyai kes positif Covid-19 baharu.

"Kawasan yang tidak dibenarkan beroperasi ialah di Pekan Dong (sehingga dimaklumkan) dan Pasar Mini Bentong Segar (sehingga 20 Mei).

"Pasar raya TF Raub, flat Benus Bentong, Kilang Rubber Flex, Bentong dan Pasar Mentakab tidak dibenarkan beroperasi sehingga 24 Mei ini.

"Sehubungan itu, maklumat berhubung kawasan yang mempunyai kes positif baharu akan dikemaskini melalui laman sesawang pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, ujian saringan Covid-19 tidak perlu dilaksanakan sebelum premis dibuka kecuali bagi pekerja warga asing terutama dalam sektor pembinaan seperti syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, saringan suhu badan pekerja hendaklah dilakukan setiap hari dan direkodkan.

"Hanya pekerja dan peniaga yang mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dibenarkan berada dalam premis.

"Waktu operasi premis perniagaan dibenarkan bermula 7 pagi hingga 7 malam kecuali bagi sektor yang diperincikan secara khusus.

"Bagi sektor pembinaan, mereka tidak perlu membuat permohonan kebenaran melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi pengisytiharan atau akujanji perlu dilaksanakan melalui sistem CIMS CIDB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 7:03 PM