RAMLI Din. FOTO arkib NSTP
RAMLI Din. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 37 pegawai kanan berkuatkuasa 2 Mac depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad menerusi kenyataan, hari ini berkata, antara pegawai kanan tersenarai dalam pertukaran itu adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din bertukar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Katanya, tempat Ramli akan diganti oleh Datuk Aidi Ismail yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Terengganu dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

“Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Saiful Azly Kamaruddin pula bertukar sebagai Timbalan Pengarah JSJK.

“Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad bertukar ke Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) JKDNKA, manakala Senior Asisten Komisioner (SAC) Kepolisan Am JKDNKA, Datuk Idris Abdullah bertukar ke Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

“Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik pula bertukar ke Ketua Polis Terengganu manakala tempatnya akan diganti oleh Timbalan Pengarah III Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Abd Razak Elias. Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Penyelenggaraan) Jabatan Logistik dan Teknologi, ACP Azizee Ismail pula akan menggantikan Abd Razak,” katanya.

Asmawati berkata, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid bertukar ke Timbalan Pengarah (Integriti) JIPS Bukit Aman.

“Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), SAC Mior Faridalathrash Wahid bertukar ke Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan JSJ dan tempatnya diganti oleh Ketua JSJ Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa,” katanya.

Selain itu, katanya, Penolong Pengarah (Agama) Bahagian Agama dan Kaunseling JIPS Bukit Aman, ACP Ghazali Daud pula bertukar ke Ketua Penolong Pengarah Pengarah (Agama dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling jabatan sama.

“Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din bertukar ke Ketua Penolong Pengarah D7 manakala tempatnya akan diganti ACP Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran), Nik Ezanee Mohd Faisal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid bertukar ke jawatan Ketua JSJ Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 7:43 PM