IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat 20 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 12 September nanti.

Mendahului senarai adalah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad yang bertukar ke Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Bukit Aman.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pula akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

"Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin ditukar ke Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku jawatan Deputi Komisioner Polis (DCP).

"Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunselling) Bahagian Agama dan Kaunselling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Ghazali Daud pula bertukar ke Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunselling) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, selain itu, Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Perundangan) PDRM, Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bertukar ke Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.

"Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ulu Kinta, Perak, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff pula akan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat DCP.

"Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak Senior Asisten Komisioner Gilberd Philip Layang pula bertukar ke Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 9:44 PM