Azam Baki bercakap ketika sidang media pada majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 Tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Azam Baki bercakap ketika sidang media pada majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 Tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengesan sebarang pemindahan wang ke atas mana-mana pegawai di Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah memanggil beberapa individu termasuk penyedia kandungan media sosial Syarul Ema Rena Abu Samah, atau dikenali Ratu Naga untuk dirakam percakapan.

Menurutnya, siasatan masih berjalan dengan memanggil saksi lain yang terbabit dengan NGO itu yang mana ada tohmahan kononnya pihak JPM menerima wang daripada NGO terbabit.

"Siasatan sedang dijalankan dan setakat ini tiada indikator yang menunjukkan wang itu diberi kepada pihak tertentu dari JPM.

"Dana itu diberi kerajaan kerana NGO terbabit membuat permohonan namun setakat ini semakan akaun kita dapati wang itu tidak diberi kepada pegawai tertentu di JPM," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Azam berkata, SPRM sekali lagi menjelaskan pihaknya tidak menahan Ratu Naga sebaliknya memanggil wanita itu dan pihak lain untuk dirakam percakapan.

Terdahulu pada 16 Februari lalu, SPRM menafikan penahanan penyedia kandungan media sosial Syarul Ema Rena Abu Samah atau dikenali Ratu Naga, sebaliknya wanita itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

Azam Baki dilaporkan berkata, aktivis politik itu disiasat berhubung dakwaan wanita itu menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah NGO.

Sebelum itu, lima pegawai SPRM melakukan penggeledahan kira-kira 20 minit di kediaman wanita itu di Jalan Klang Lama, di sini.

SPRM turut merampas telefon bimbit dan laptop serta membawa Syarul Ema ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:28 PM