MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam Kedah, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam Kedah, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau adalah 'target' sebenar pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Presiden KFA itu mendakwa, penahanan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) hanyalah sebagai aksesori sahaja untuk mengada-adakan kes, menganiaya dan membina naratif buruk kerajaan di bawah pentadbirannya.

Dakwanya, ada pihak lain yang sepatutnya dikenakan tindakan dan bukannya empat individu berkenaan.

"Menganiaya depa (mereka) tak boleh buat lagu tu, berdosa. Saya tak seiring dengan depa, semua itu aksesori saja, targetnya saya. Cari kes saya, berbulan-bulan cari tak jumpa, kebenaran hangpa dah jumpa... Sanusi tak ada kes.

"Tapi hangpa (mereka) ada-adakan juga, salah satunya mempamerkan persepsi bina naratif bahawa di Kedah ini rasuah banyak, bola sepak pun rasuah," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dakwaan itu menyebabkan pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kepada KFA berasa takut untuk berbuat demikian.

"KFA yang sedang menanggung beban hutang, menanggung pasukan futsal, pasukan Piala Presiden, Piala Belia, semua dah setuju nak sumbang kepada KFA, bila depa buat cerita ini orang jadi 'serot' (takut)," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperjelaskan kedudukan sebenar KFA.

Tegasnya, tiada unsur penyelewengan dalam KFA kerana wang dimaksudkan itu adalah wang yang sememangnya berada dalam akaun badan berkenaan, bukannya akaun peribadi.

Katanya, jumlah yang diuar-uarkan juga tidak tepat iaitu hanya RM5 juta, bukannya RM6 juta seperti didakwa.

"Saya sedia beri kerjasama 28 jam sehari. Datanglah bila pun, nak tanya apa? Mai (datang) saya nak jawab," katanya .

Selain itu, Muhammad Sanusi menganggap apa yang dipamerkan hanyalah propaganda murahan pihak tertentu dan berharap golongan berkenaan 'bertaubat'.

Jumaat lalu, media melaporkan SPRM menahan reman empat individu termasuk CEO KFA, masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 12:30 PM