MURAD menunjukkan lokasi harimau belang dilihat penduduk Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya.
MURAD menunjukkan lokasi harimau belang dilihat penduduk Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya.
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kemunculan harimau belang di kawasan surau berhampiran pejabat dan kuarters Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pos Brooke di sini, menimbulkan kegusaran penduduk.

Mereka mendakwa haiwan liar itu sudah berkeliaran di penempatan Orang Asli sejak dua minggu lalu.

Penduduk, Asan Asoi, 40, berkata, dia melihat kelibat harimau melompat dari pagar surau ke belukar di belakang surau pada Selasa lalu, ketika meronda sekitar kawasan itu.

"Ini pertama kali saya melihatnya di kawasan surau... memang terkejut tiba-tiba nampak 'pak belang' melompat... mungkin ia tidur di situ.

"Sekarang kami sangat risau sekiranya ia adalah harimau yang sama menyerang anjing peliharaan penduduk di Kampung Jedip," katanya ketika ditemui.

Sementara itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Brooke, Murad Mat berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan terutama apabila sudah ada serangan yang berlaku sebelum ini.

"Bukan hanya ancaman gajah liar yang sudah berlarutan sejak tiga tahun, kini harimau belang pula, yang lebih membuatkan kami takut kerana ia masih bebas," katanya yang berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 12:05 PM