Seekor harimau dikesan berada di luar pagar asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di sini, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Seekor harimau dikesan berada di luar pagar asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di sini, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesan tiga harimau belang yang berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, setakat ini sejumlah harimau itu yang dikesan di Pos Bihai dan kawasan sekitarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa terdapat 11 harimau belang di perkampungan Orang Asli.

Katanya, pasukannya akan terus membuat pemantauan dan memasang perangkap yang dilengkapi kamera di Kampung Tendrik dan Kampung Hak di Pos Bihai.

"Walaupun sudah memasang kamera, kita sukar menangkap gambar haiwan itu memandangkan ia bergerak dengan cepat dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

"Perhilitan dengan kekuatan 15 anggota akan terus berusaha menangkap harimau belang ini bagi mengelak ia terus mengganggu dan mengancam penduduk kampung.

"Selain itu, orang ramai diharap tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar kerana ia akan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya juga akan menempatkan anggota bagi memberi taklimat perkembangan setiap hari kepada penduduk Orang Asli bagi menghilangkan keresahan mereka

"Kita juga sentiasa mengingatkan mereka untuk sentiasa berada di dalam rumah dan elak keluar ke hutan bagi menjamin keselamatan.

"Tidak tahu haiwan ini berada di lokasi mana, namun kita berharap ia dapat ditangkap dalam masa terdekat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, Jumaat lalu.

Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul pada jam 9.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:26 PM