AHLI Geng Plastik Ija GPI mengutip sampah pada gotong-royong yang diadakan di Pantai Rumah Murah Kemasik. FOTO Rosli Ilham
AHLI Geng Plastik Ija GPI mengutip sampah pada gotong-royong yang diadakan di Pantai Rumah Murah Kemasik. FOTO Rosli Ilham
BERNAMA

Chukai: Seekor penyu agar betina ditemukan mati terdampar di Pantai Che Wan, Kijal di sini pagi hari ini.

Pengerusi Kelab Geng Plastik Ija Terengganu Zulkefli Sarji berkata, bangkai penyu itu ditemukan ahli persatuannya yang sedang menjalankan program pembersihan pantai bersama pelajar Kolej Vokasional Kemaman pada 7.30 pagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Jabatan Perikanan negeri untuk tindakan lanjut.

"Menurut Jabatan Perikanan Negeri, punca kematian penyu agar itu berkemungkinan besar disebabkan terperangkap di dalam pukat pari yang dipasang di laut.

"Seperti semua sedia maklum penyu perlu naik ke permukaan setiap beberapa jam untuk bernafas. Apabila terperangkap, penyu tidak dapat bernafas dan mati," katanya ketika dihubungi.

Menurut Zulkefli, Jabatan Perikanan juga percaya penyu itu naik ke pantai untuk bertelur berdasarkan penemuan telur daripada perutnya yang pecah.

Beliau berkata, penemuan bangkai penyu itu adalah yang pertama oleh ahli kelabnya pada tahun ini dan ia amat dikesali memandangkan penyu merupakan spesies semakin terancam.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera bagi mengelak lebih banyak kematian haiwan yang menjadi warisan marin negara itu.

"Pada tahun ini persatuan kami sudah melaksanakan 26 program gotong-royong membersihkan pantai bersama pelbagai pihak termasuk komuniti, pelajar sekolah dan pihak swasta dalam usaha menjaga khazanah alam.

"Setakat ini, kami ada seramai 800 ahli di seluruh Terengganu, tetapi yang betul-betul aktif lebih 200 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 1:51 PM