NORMAZITA menunjukkan penyu agar yang ditemui mati terjerut pukat pari di Pantai Chakar Hutan, Kerteh. FOTO Ihsan Normazita Ali
NORMAZITA menunjukkan penyu agar yang ditemui mati terjerut pukat pari di Pantai Chakar Hutan, Kerteh. FOTO Ihsan Normazita Ali
Rosli Ilham

Chukai: "Sedih bila lihat penyu mati dalam keadaan terseksa," kata Ahli Jawatankuasa Geng Plastik Ija (GPI), Normazita Ali yang menemui bangkai seekor penyu agar di Pantai Chakar Hutan, dekat Kerteh, pagi tadi.

Normazita berkata, dia dimaklumkan berhubung penemuan bangkai penyu jantan itu jam 7.30 pagi.

"Saya bergegas ke pantai dan sangat sedih bila melihat penyu itu mati terjerut pukat pari yang digunakan nelayan untuk menangkap ikan.

"Bayangkan betapa terseksanya penyu itu bertarung nyawa akibat daripada terjerut," katanya.

Menurutnya, penyu itu dipercayai mati sejak beberapa hari lalu sebelum bangkai disepahkan ombak naik ke daratan.

"Penyu ini dianggarkan seberat kira-kira 150 kilogram dan panjang sekitar 152 sentimeter.

"Kalau lihat keadaan bangkai yang mulai mereput, saya percaya penyu itu sudah mati lebih daripada empat hari," katanya ketika dihubungi.

Normazita berkata, dia sangat kesal dengan tindakan segelintir nelayan yang masih menggunakan pukat pari sedangkan pukat itu diharamkan penggunaannya oleh pihak berkuasa.

"Kes ini bukan pertama kali berlaku dan sudah ada tiga kes penyu ditemui mati sepanjang saya dan rakan-rakan terbabit membersih kawasan pantai.

"Saya melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perikanan Daerah untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, dia berharap nelayan bersama-sama membantu demi menyelamatkan penyu daripada pupus.

"Sekarang ini musim penyu naik ke pantai untuk bertelur dan saya berharap semua pihak termasuk nelayan lebih cakna dengan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 4:37 PM