Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu  perkampungan haram di tengah hutan di Puncak Alam yang dibina Pati dari Indonesia. FOTO Ihsan JIM
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu perkampungan haram di tengah hutan di Puncak Alam yang dibina Pati dari Indonesia. FOTO Ihsan JIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bina perkampungan haram di tengah hutan. Itu dilakukan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia bagi mengelakkan kehadiran mereka dihidu pihak berkuasa.

Malah, penempatan yang dibina di kawasan bukit dan cerun di Puncak Alam itu turut menempatkan kanak-kanak dan bayi.

Bagaimanapun penempatan itu berjaya dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas menyerbu penempatan berkenaan pada jam 2 pagi, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 95 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 39 orang Pati berusia dua hingga 52 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Semua Pati yang ditahan adalah terdiri daripada warganegara Indonesia, mereka ditahan terdiri daripada 14 lelaki, 22 perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan.

"Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki di dalam gelap hampir 15 minit untuk sampai ke penempatan haram tersebut melalui jalan hutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, serbuan yang dilaksanakan sangat mencabar kerana penempatan haram berada jauh di dalam hutan dari laluan utama dan dikelilingi cerun yang curam.

"Terdapat banyak lorong yang tersembunyi bagi memudahkan Pati meloloskan diri dari ditangkap.

"Semasa serbuan terdapat Pati yang cuba melarikan diri melalui lorong-lorong hutan dan melompat ke cerun-cerun yang curam.

"Tindakan mereka ini boleh membahayakan keselamatan diri sendiri. Walau bagaimanapun, hampir semua yang cuba melarikan diri berjaya ditahan kerana kawasan dikepung terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menahan baki 56 orang yang diperiksa kerana mereka mempunyai slip pendaftaran program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.

"JIM akan memanjangkan maklumat dan laporan penempatan haram ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang

berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,"katanya,

Katanya, tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:10 PM