(Duduk dari kiri) Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Datuk Nor Salwani Muhammad, Akauntan Negara Nor Yati Ahmad, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Patimah Ramuji dan Pengarah Akademi Audit Negara Baridatul Anita Bidin. FOTO ihsan JAN
(Duduk dari kiri) Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Datuk Nor Salwani Muhammad, Akauntan Negara Nor Yati Ahmad, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Patimah Ramuji dan Pengarah Akademi Audit Negara Baridatul Anita Bidin. FOTO ihsan JAN
ANTARA peserta kursus Pemantapan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam. FOTO ihsan JAN
ANTARA peserta kursus Pemantapan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam. FOTO ihsan JAN
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kursus Pemantapan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam mampu memberi pendedahan sistem penyata kewangan yang teratur dan mengukuhkan kefahaman perekodan item selaras piawaian perakaunan diguna pakai.

Ia yang diadakan buat pertama kali disertai 70 peserta terdiri Yang Dipertua, Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif atau Setiausaha dan pegawai kewangan Majlis Agama Islam negeri serta agensi berkaitan.

Dalam kenyataan, Jabatan Audit Negara (JAN) memaklumkan objektif kursus bagi memberikan pendedahan kepada peserta mengenai ciri penyata kewangan yang teratur.

Menurutnya, selain itu ia bagi mengukuhkan kefahaman peserta berkenaan perekodan item dalam penyata kewangan selaras dengan piawaian perakaunan yang diguna pakai.

"Kursus itu diharapkan dapat menjadi platform perbincangan dalam usaha mengurangkan isu berkaitan pengurusan kewangan dan penyediaan penyata kewangan yang dibangkitkan semasa pengauditan," katanya.

Kursus berkenaan dilancarkan oleh Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, semalam.

Sementara itu, Wan Suraya dalam ucapannya berkata, JAN memainkan peranan penting sebagai semak imbang untuk meningkatkan ketelusan pengurusan zakat dan keyakinan pemegang taruh terutama pembayar zakat.

Beliau turut memaklumkan sebanyak lapan Majlis Agama Islam negeri sudah diberikan Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Tahun 2022.

Kursus berkenaan merangkumi topik seperti Pengenalan kepada Piawaian Perakaunan bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dan Panduan Penyediaan Penyata Kewangan yang Teratur.

Selain itu, ia turut dibincangkan Perakaunan dan Isu Pengauditan bagi Kutipan & Agihan Zakat, Aset Wakaf dan Harta Faraid serta kupasan berkaitan Pengurusan dan Sistem Kewangan Majlis Agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:25 PM