Siti Rohana Idris


Tumpat: Pengurusan jenazah adalah fardu kifayah namun tidak ramai boleh melakukannya berikutan kekurangan ilmu untuk berbuat demikian ditambah pula dengan beban kewangan.

Kerap mendengar keluhan waris si mati yang berdepan kekangan kewangan, Cempaka Merah Asnaf Society tampil menganjurkan kursus pengurusan jenazah mengenainya secara percuma.

Kursus yang membabitkan 15 peserta dan diadakan di Masjid Al-Mustaqim di Taman Sri Bayu itu adalah bagi membentuk pasukan yang boleh menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma khusus kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed, berkata sejak kebelakangan ini, NGOnya kerap menerima aduan orang ramai yang memerlukan bantuan untuk menguruskan jenazah waris mereka berikutan tidak mampu menyediakan kewangan yang adakalanya mencecah sehingga RM1,800.

"Sebelum ini jika menerima kes yang memerlukan bantuan sebegitu, kami segera menghubungi mana-mana kenalan NGO lain untuk membantu sama ada percuma secara keseluruhan atau separuh daripada kos itu dibayar mereka.

"Menerusi kursus ini kami akan teruskan misi membuat saringan untuk menubuhkan satu pasukan yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma terutama di musim pandemik ini yang menyebabkan ramai dalam kalangan asnaf tidak mampu menyediakan kos itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Che Norhayati berkata, beberapa siri kursus yang sama akan diadakan lagi dan pihaknya juga bercadang untuk mengadakan kursus pengurusan jenazah untuk mangsa Covid-19, juga secara percuma.

Menurutnya lagi, ia berikutan semakin banyak kematian disebabkan wabak itu kebelakangan ini dan selain membantu waris jenazah, ia juga dapat mengurangkan beban pihak hospital.

"Kami kini sedang mencari pengangkutan untuk dijadikan kenderaan jenazah bagi melengkapkan proses pengurusan jenazah secara percuma bermula daripada mandi, kapan dan solat sehingga dihantar ke liang lahad.

"Insya-Allah, kami akan wujudkan pasukan yang sama di setiap daerah dan mampu mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditanggung mereka yang tidak berkemampuan," katanya.

Kursus seharian yang dijalankan itu disertai sembilan peserta wanita dan enam lelaki termasuk seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hajar Ahmad Hamdan, 22, yang teruja untuk mengetahui selok belok ilmu pengurusan jenazah.

Penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah itu berkata, pengetahuan yang diperoleh itu akan dimanfaatkan untuk membantu sesiapa yang memerlukan sama ada secara teori atau praktikal.

"Secara asas memang nampak biasa tapi pengurusan jenazah rupanya ada tatacara dan syaratnya yang kita tidak tahu dan Alhamdulillah, menerusi kursus secara percuma ini saya dapat melengkapkan pengetahuan dalam perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:08 PM
Antara tatacara dalam pengurusan jenazah diajar kepada peserta sempena kursus pengurusan jenazah percuma yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society di Masjid Al-Mustaqim di Taman Sri Bayu di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Antara tatacara dalam pengurusan jenazah diajar kepada peserta sempena kursus pengurusan jenazah percuma yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society di Masjid Al-Mustaqim di Taman Sri Bayu di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS