Bangunan Kementerian Kewangan Malaysia. - FOTO NSTP
Bangunan Kementerian Kewangan Malaysia. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan dan prestasi kewangan serta aliran tunai bagi tahun berakhir pada tarikh tersebut.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata rekod perakaunan telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini, selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957, Piawaian Perakaunan Kerajaan dan Standard Perakaunan Sektor Awam Antarabangsa (Pelaporan Kewangan mengikut Asas Perakaunan Tunai).

Bagaimanapun, dalam perenggan Penegasan Perkara, beliau berkata perhatian perlu diberikan terhadap Nota 6 mengenai Akaun Pinjaman Disatukan, Nota 7(a)(i) mengenai Kumpulan Wang Pembangunan dan Nota 10(a) mengenai Hutang Persekutuan.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Pada 2021, pinjaman kasar adalah berjumlah RM217.20 bilion berbanding RM194.56 bilion pada 2020, iaitu meningkat RM22.65 bilion atau 11.6 peratus, katanya.

Beliau berkata sementara itu, baki pindahan yang telah dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan berjumlah RM40.99 bilion, iaitu dari segi peratusannya telah menurun kepada 65.8 peratus berbanding 77.3 peratus pada 2020.

"Dana daripada sumber pinjaman yang dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan perlu dioptimumkan penggunaannya untuk membiayai projek pembangunan fizikal yang menyumbang kepada pembentukan modal tetap kasar dan mempunyai kesan pengganda yang tinggi seterusnya dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Pinjaman kasar berjumlah RM217.20 bilion tersebut telah mengakibatkan peningkatan Hutang Persekutuan kepada RM979.81 bilion atau 63.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada 2021, berbanding RM879.56 bilion atau 62 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020," katanya.

Justeru, Nik Azman mengesyorkan tiga tindakan perlu diambi oleh kerajaan Persekutuan iaitu meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, mengamalkan perbelanjaan secara berhemat, mengurangkan tunggakan hasil dan tunggakan Pinjaman Boleh Dituntut serta mengamalkan disiplin fiskal yang tegas supaya kedudukan kewangan lebih kukuh.

"Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan perlu mempertingkatkan penglibatan secara hands on dalam urusan kewangan. Sistem semak dan imbang serta penilaian secara berkala terhadap kerja yang dilaksanakan oleh pegawai, termasuk memberi latihan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pegawai," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam (UAD) di kementerian dan jabatan perlu dipertingkatkan.

Antaranya memastikan anggota UAD mendapat latihan dan bimbingan yang secukupnya, menyediakan rancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan, membuat penilaian secara objektif dan bebas, bukan sahaja berkaitan dengan aspek kawalan dalaman malahan risiko dan tadbir urus organisasi, melaporkan penemuan signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 3:47 PM