Abdul Halim menunjukkan rumah Norma yang musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk Gelam, semalam.
Abdul Halim menunjukkan rumah Norma yang musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk Gelam, semalam.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Jitra: “Tindakan saya menjerit dan menendang pintu dapur rumah jiran yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawanya apabila dia tersedar daripada tidur dan terus berlari keluar sebelum bahagian atas kediaman itu runtuh tidak lama kemudian,” kata Abdul Halim Abdullah, 34, menceritakan detik cemas apabila rumah jirannya, Norma Omar, 65, musnah dalam kebakaran di Kampung Tok Gelam, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.25 pagi itu, kaki wanita warga emas itu melecur akibat terpijak bara api.

Abdul Halim berkata, ketika kejadian, dia sedang menyiapkan sengkuap rumah milik penduduk berhampiran sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun di rumah jirannya terletak kira-kira 50 meter.

Menurutnya, dia berlari untuk melihat kejadian yang berlaku sebelum nampak percikan api di tingkat atas rumah berkenaan.

“Saya terus menghubungi anak pemilik rumah berkenaan yang menetap di Taman Mahsuri di sini, memaklumkan rumah ibunya terbakar.

“Bagaimanapun, saya tidak sedap hati apabila anak jiran itu memberitahu yang ibunya berada seorang diri dalam rumah menyebabkan saya menjerit memanggil namanya berulang kali tetapi tiada sahutan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 9:36 AM