Keadaan rumah yang terbakar di Kondo Rakyat hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Keadaan rumah yang terbakar di Kondo Rakyat hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


“KETIKA memasak soto api secara tiba-tiba menyambar sebelum merebak dan membakar rumah,” kata suri rumah, Yuslina Nordin, 32, mengenai kejadian rumahnya terbakar di Kondo Rakyat, Jalan Pantai Murni 2, Pantai Dalam hari ini.

Menurutnya, kejadian pada 12 tengah hari itu berlaku pantas.

“Ketika kejadian hanya emak, Azizah Yasin, 64, dan anak saya, Yasmeen Delisha berusia 11 bulan bersama seorang anak jagaan berusia lima tahun berada di rumah.

“Mujur ada jiran yang sedar dan membawa mereka yang ketika itu di ruang tamu keluar manakala saya menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kejadian yang berlaku di Blok 5, Tingkat 19 itu menyebabkan dua rumah di Kondo Rakyat berkenaan terbakar.

Rumah Yuslina terbakar 90 peratus manakala rumah jirannya terbakar 50 peratus.

Yuslina yang kini mengandung lima bulan berkata, buat masa ini dia masih buntu mahu tinggal di mana.

“Kemungkinan saya akan tinggal sementara di rumah jiran manakala ibu dijaga adik beradik lain.

“Ini kejadian pertama sejak saya tinggal di sini lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Seorang lagi mangsa kebakaran, Yaacob Zainal, 68, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah.

“Sebaik mengetahui kejadian itu saya segera pulang dan mendapati api mula marak di ruang dapur.

“Beberapa minit kemudian bomba tiba dan berjaya mengawal api itu daripada terus merebak,” katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 12.35 tengah hari.

“Seramai 45 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Seputeh dan BBP Sri Hartamas dengan empat jentera dikerah ke lokasi.

“Api berjaya dikawal 1.14 tengah hari dan padam sepenuhnya 17 minit kemudian.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:51 PM