Sebahagian daripada rakyat Indonesia hadir untuk melaksanakan undi awal sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebahagian daripada rakyat Indonesia hadir untuk melaksanakan undi awal sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memberi jaminan akan menyediakan perkhidmatan terbaik demi kelancaran proses Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata ini bukan kali pertama acara besar diadakan di bangunan itu kerana sebelum ini turut menerima jumlah pengunjung yang besar ketika menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, bagi kelancaran proses pengundian itu, pihaknya sudah membuat persiapan sejak seminggu lalu selepas bermesyuarat dengan pihak kedutaan hampir dua bulan.

"Persiapan ini turut meliputi kakitangan WTCKL berjumlah hampir 300 orang serta dibantu dengan agensi kerajaan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya memberi jaminan keamanan, kestabilan dan kebersihan WTCKL akan terjaga. Selain itu kita juga akan memastikan sistem pengudaraan dititikberatkan demi keselesaan pengundi.

"Ini juga adalah hari bersejarah bagi WTCKL kerana dipilih menjadi lokasi utama Pemilu 2024. Sudah tentu sekretariat utama dari Jakarta akan turut serta dan kita akan memastikan setiap kelemahan dapat diatasi.

"WTCKL bukan sahaja dipilih sebagai lokasi pengundian utama tetapi turut menjadi tempat untuk pengiraan dan penjumlahan undi pada 14 Februari nanti," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Hari ini, seramai 222,945 pemilih yang layak akan menjalankan tanggungjawab di WTCKL bagi proses undi awal.

Selain itu, lima lagi lokasi untuk mengundi ialah di Johor Bahru dengan 2,684 pemilih, Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) serta Kuching (2,988).

Indonesia memulakan kempen pemilihan presiden 2024, 28 November lalu yang menyaksikan tiga calon bakal bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.

Ia membabitkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan manakala penyandang Presiden, Joko Widodo (Jokowi) tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggalnya berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 1:13 PM