Kapal layar dinaiki dua pelayar asing yang mengalami kebocoran di perairan muara Jepak. FOTO APMM.
Kapal layar dinaiki dua pelayar asing yang mengalami kebocoran di perairan muara Jepak. FOTO APMM.
Erika George


Bintulu: Dua pelayar warga asing terkandas di lautan selepas kapal layar bocor berhampiran Muara Jepak, di sini, semalam.

Mereka berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menerima panggilan dibuat kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) pada 4.23 pagi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, mangsa dikenali Wang Zhenzhen, 32, iaitu wanita berasal dari China dan rakan lelakinya, Jiang Peng, 39, dari Saint Kitts and Nevis disahkan selamat.

"Sepasukan anggota Bot Kilat 44 dikejar ke lokasi untuk Op Carilamat selepas menerima panggilan kecemasan daripada Wang, memaklumkan mereka terkandas di kedudukan 1.5 batu nautika dari tenggara Muara Jepak.

"Berdasarkan maklumat, kapal layar itu sedang bergerak dari Pelabuhan Bintulu menuju ke Lungsod Ng Bacolod di Filipina, namun mengalami kebocoran," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pasukan menemui kapal layar itu tersadai di tengah laut dan mangsa dalam keadaan selamat.

Katanya, tindakan segera diambil dengan mengepam air keluar daripada badan kapal dan atas faktor keselamatan, kapal layar terbabit turut dirapatkan dengan sebuah bot tunda yang kebetulan melalui perairan bagi mengelak ia karam.

"Selepas kerja-kerja mengeluarkan air selesai, kapal layar diiring Bot Kilat 44 menuju ke Jeti PGM Jepak dan tiba di sana pada jam 2 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 12:38 AM