GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati produk penyedut hidung atau energy stick bukan keluaran berdaftar.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap mereka yang menjual produk berkenaan secara dalam talian disyaki tidak berdaftar.

"Hasil saringan awal di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan produk berkenaan diturunkan.

Dr Muhammad Radzi berkata, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua dan berikutnya.

Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama, beliau berkata mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dr Muhammad Radzi berkata, pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk berkenaan.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1-800-88-6722.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:58 PM