AMIRUDIN berucap pada majlis perjanjian persefahaman (MOU) MPAJ dan CelcomDigi Berhad di Pusat Konvensyen MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
AMIRUDIN berucap pada majlis perjanjian persefahaman (MOU) MPAJ dan CelcomDigi Berhad di Pusat Konvensyen MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan Selangor meletakkan sasaran awal 50 peratus ahli majlis di Klang sekurang-kurangnya memiliki kelulusan diploma dan ke atas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, untuk permulaan sasaran itu diletakkan untuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Menurutnya, ia selaras seperti dititahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya 50 peratus ahli MBDK dianggotai golongan profesional.

"Sudah tentu kita mulakan di Klang, sebab itu kita pastikan yang ada di (MBDK) Klang itu sekurang-kurangnya ada diploma, ijazah dan ke atas, selain pernah terlibat dalam bidang profesional berkaitan.

"Macam saya tahu di (majlis perbandaran) Ampang (Jaya), ada yang dalam kalangan profesional seperti jurutera dan bidang berkaitan.

"Jadi kami akan cuba bekerja keras untuk memenuhi harapan Tuanku (Sultan Sharafuddin) itu, tetapi pada masa sama kita juga menetapkan sekarang ini supaya sebahagian besar atau cuba mencapai pada peringkat awal 50 peratus daripada representasi graduan (ahli majlis) sekurang-kurangnya ada diploma dan ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pusat Konvensyen MPAJ di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin menitahkan 50 peratus ahli MBDK dianggotai golongan profesional dalam bidang diperlukan untuk pembangunan sesebuah bandar dan bukan diisi ahli politik semata-mata.

Baginda juga bertitah bilangan ahli majlis itu juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi kaum yang menetap di Bandar Klang agar semua kaum dapat diwakili.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:51 PM